BLOG SAYA

Mon

24

Jan

2011

SOALAN PEMAHAMAN WAJAR DIMANSUHKAN?

SOALAN BM1 STPM mengemukakan 60 soalan bercorak pelbagai pilihan. Sepuluh soalan daripadanya adalah tentang pemahaman, yang diuji melalui dua atau tiga petikan, sama ada berupa teks atau carta.

 

Pelantar berpendapat sudah sampai masanya bahagian pemahaman itu dikeluarkan daripada soalan BM Kertas 1. Aspek kemahiran memahami petikan itu kelihatan amat berlainan daripada lima aspek lain. Aspek tersebut dirasakan lebih sesuai dimasukkan ke dalam BM Kertas 2. 

 

Lebih sesuai sekiranya 10 soalan itu diagihkan kepada lima aspek lain yang sangat luas skop yang perlu dipelajari tetapi soalan yang dikemukakan sangat kecil. Aspek Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu, Dinamika Bahasa Melayu, dan Fonologi Bahasa Melayu misalnya, masing-masing dikemukakan tujuh atau lapan soalan sahaja, manakala aspek Semantik Bahasa Melayu diuji dengan tiga atau empat soalan sahaja.

 

Dalam aspek Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu, pelajar perlu mempelajari tajuk asal usul, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu moden, unsur bahasa asing dalam bahasa Melayu, dan perkembangan tulisan Jawi, manakala dalam aspek Dinamika, pelajar perlu mempelajari tajuk variasi bahasa, laras bahasa, kesantunan berbahasa, retorik, dan wacana, yang setiap tajuk itu terdapat lima hingga enam item yang perlu diffahami. Dalam aspek Semantik, pelajar perlu memahami beberapa jenis peribahasa dan makna-makna leksikal.

11 Comments